KUCHING: Sarawak bersedia meneroka kerjasama dengan institusi, universiti dan industri dari seluruh Asia dan Pasifik bagi menguji penyelesaian kejuruteraan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat serta diterapkan di tempat lain.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan itu bagi merealisasikan usaha berkenaan, Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) memainkan peranan penting menerusi jaringan profesional, industri dan institusi kejuruteraan di rantau berkenaan.
Menurutnya, FEIAP bukan sahaja menyediakan pendedahan antarabangsa kepada jurutera muda Sarawak, malah membuka peluang kepada industri dan institusi tempatan dalam bidang penyelidikan, pelaburan serta kerjasama praktikal.
“Bagi rakan-rakan kami dalam FEIAP, Sarawak menawarkan lebih daripada sekadar tempat untuk mengadakan pertemuan.
“Kita boleh menjadi tempat untuk idea-idea baharu diuji dalam keadaan sebenar, selain menjadi rakan dalam penyelidikan, pelaburan dan pembangunan bakat,” katanya dalam ucapan merasmikan Perhimpunan Agung dan Konvensyen Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) Ke-34 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kedudukan Sarawak di Borneo turut memberi kelebihan kepada negeri ini untuk membantu menghubungkan ilmu pengetahuan dan kepakaran merentasi ASEAN serta rantau Asia-Pasifik yang lebih luas.
Katanya, Sarawak tidak mengharapkan rakan kerjasama hadir dengan penyelesaian yang sudah tersedia, sebaliknya mengajak mereka membangunkan penyelesaian bersama yang berkesan dalam keadaan sebenar dan mampu meningkatkan kehidupan rakyat.
“Kita mahu membangunkan penyelesaian yang boleh disesuaikan untuk digunakan di tempat lain. Marilah kita mulakan dengan sesuatu yang praktikal: satu cabaran, satu kerjasama dan satu projek perintis,” katanya.
Beliau mencadangkan supaya satu cabaran kejuruteraan sebenar dikenal pasti sebelum institusi, universiti dan industri dari seluruh FEIAP dihimpunkan untuk menguji penyelesaian yang boleh diukur, ditambah baik dan diterapkan semula.
“Sarawak bersedia untuk meneroka kerjasama sedemikian,” katanya.
Sementara itu beliau, mahu anak Sarawak bukan sahaja menguasai ilmu dan teknologi, malah mampu bersaing serta menyumbang di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, pelaburan paling penting yang boleh dilakukan adalah terhadap modal insan kerana pembangunan infrastruktur dan teknologi tidak akan memberi manfaat sepenuhnya sekiranya Sarawak terus bergantung kepada pihak luar bagi mendapatkan penyelesaian.
“Pendidikan membolehkan rakyat Sarawak menyesuaikan, menambah baik dan akhirnya membangunkan teknologi serta penyelesaian sendiri.
“Apabila kita mendidik rakyat kita sendiri, mereka mampu menyesuaikan teknologi, menambah baiknya dan akhirnya membangunkan penyelesaian mereka sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata pengenalan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) di universiti milik kerajaan negeri antara usaha menyediakan peluang kepada golongan muda Sarawak memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi ekonomi masa depan.
Katanya, visi beliau bukan sekadar mahu anak Sarawak mendapat pendidikan di negeri ini sebelum terus tinggal dan bekerja di Sarawak.
“Saya mahu mereka melihat dunia, mendapat pendedahan antarabangsa, bekerja bersama mereka yang terbaik serta menyumbang di mana sahaja peluang membawa mereka. Ke mana sahaja mereka pergi, saya mahu mereka membawa nama Sarawak dengan penuh kebanggaan,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Presiden FEIAP Profesor Dr Aung Kyaw Myat dan Pengerusi Pengelola FEIAP 2026 Dr Angelia Liew.







