Sebuah drama yang sedang ditayangkan menerusi platform penstriman kini mencetuskan kontroversi apabila didakwa menyentuh isu LGBT.
Memetik sumber, drama yang dikenali sebagai Madu Atau Racun itu menampilkan karakter Nikita yang menyukai kaum sejenis dan berusaha menyelamatkan madunya, Azura, daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Rentetan itu, ramai meminta drama berkenaan ditarik balik kerana didakwa tidak sesuai dengan budaya dan agama masyarakat di negara ini.
Bagaimanapun, pelakon drama terbabit, Elisya Sandha memohon netizen menyaksikan naskhah tersebut sehingga ke pengakhirannya sebelum membuat sebarang andaian.
Menurut Elisya, jalan cerita yang ditunjukkan mengandungi pengajaran serta iktibar yang boleh membuka pandangan penonton.
“Banyak benda yang mungkin kita boleh ambil sebagai iktibar daripada cerita ini. Mungkin sekarang kita belum nampak keseluruhan mesej, tetapi percayalah, kena tengok sampai habis kerana kadang-kadang, sesuatu cerita itu lebih daripada sekadar cerita.
“Ia boleh membuatkan orang berfikir, membuka mata mereka, mengubah cara mereka melihat sesuatu perkara dan siapa tahu, mungkin cerita ini juga boleh mengubah perspektif atau hidup seseorang, kan?,” tulisnya.
Ekoran isu itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memaklumkan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menarik balik tayangan drama terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata perkara itu membabitkan aspek perundangan dan berada di luar bidang kuasa badan berkenaan.
Namun begitu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dalam masa terdekat bagi membincangkan isu kandungan berunsur seksual dan LGBTQ yang disiarkan menerusi platform penstriman.
“Syarikat penerbitan dan pengarah drama sepatutnya mempunyai rasa tanggungjawab walaupun mereka menghasilkan karya untuk platform OTT (over-the-top) atau penstriman antarabangsa, yang kandungannya tidak dikawal di bawah Lembaga Penapis Filem (LPF),” katanya.
Jelasnya, status sesebuah karya yang disiarkan menerusi platform OTT tidak bermakna penggiat industri mempunyai kebebasan tanpa batas.
“Kita tidak menghalang mereka mempamerkan kreativiti, tetapi undang-undang serta syariat agama juga perlu dipatuhi.
“Maksud diberikan kelonggaran adalah dari sudut kreativiti saja, tetapi sensitiviti agama dan budaya tidak boleh diabaikan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmir berkata FINAS sedang mengkaji kemungkinan memperluaskan kuasa badan itu menerusi penambahbaikan peraturan pelesenan yang kini dalam proses untuk dibawa ke peringkat Kementerian Komunikasi.
Katanya, antara cadangan itu membolehkan FINAS mengambil tindakan terhadap syarikat penerbitan sekiranya kandungan yang dihasilkan menimbulkan isu serius membabitkan keharmonian masyarakat.







