KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak semakin membimbangkan apabila enam kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya setakat jam 8 pagi hari ini, dengan dua daripadanya merekodkan bacaan melebihi 400.

Berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 408, diikuti Kuching dengan bacaan 407.

Turut mencatatkan bacaan pada tahap berbahaya ialah Samarahan (372), Sri Aman (361), Sarikei (333) dan Sibu (309).

Sementara itu, tiga kawasan berada pada tahap sangat tidak sihat, iaitu Mukah dengan bacaan IPU 234, diikuti Bintulu (232) dan Samalaju (225).

Empat lagi kawasan mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat, iaitu ILP Miri (187), Miri (180), Kapit (178) dan Limbang (166).

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara berada pada tahap baik, manakala bacaan 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana dan 101 hingga 200 sebagai tidak sihat.

Bacaan antara 201 hingga 300 pula menunjukkan tahap sangat tidak sihat, manakala bacaan IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.