KUCHING: Kontinjen Para Sarawak diseru menjadikan peningkatan prestasi dan pencapaian rekod peribadi sebagai sasaran utama pada Para SUKMA XXII Selangor 2026 sebelum memburu pingat emas untuk negeri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, setiap atlet perlu berusaha memperbaiki pencapaian masing-masing sebagai langkah untuk mencapai sasaran lebih tinggi dalam temasya berkenaan.

Menurutnya, peningkatan satu tahap daripada pencapaian atau rekod sebelum ini juga sudah dianggap sebagai satu kejayaan bagi seseorang atlet.

“Yang pasti ialah setiap orang dapat memperbaiki sasarannya, rekodnya. Mesti naikkan satu peringkat lagi. Itu kita dah menjadi satu kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Send-Off Atlet Para Sarawak ke Para SUKMA XXII Selangor 2026 di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini, hari ini.

Fatimah berkata, sasaran kejayaan perlu dicapai secara berperingkat, bermula dengan memastikan proses klasifikasi berjalan lancar sebelum atlet dapat bertanding, memperbaiki rekod peribadi dan seterusnya mengejar pingat emas.

Menurutnya, proses klasifikasi yang akan dijalani di Selangor penting bagi memastikan atlet yang sudah membuat persiapan dapat beraksi dalam acara masing-masing tanpa berdepan masalah kelayakan.

“Justeru, saya mahu mengingatkan atlet para ini supaya menjaga kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi sepanjang kejohanan, selain memastikan pemakanan serta kesihatan sentiasa berada pada tahap baik,” ujarnya.

Katanya, persiapan kontinjen Para Sarawak sudah dilakukan sejak lebih setahun lalu, dengan pengurus dan jurulatih mengenal pasti bakat baharu untuk digabungkan bersama atlet sedia ada.

“Untuk makluman, seramai 383 anggota kontinjen Sarawak akan menyertai Para SUKMA XXII Selangor 2026, terdiri daripada 172 atlet, 126 pegawai dan 85 pegawai sokongan,” katanya.

Jelas beliau, perjuangan atlet Para Sarawak bukan sekadar mengejar kejayaan dalam pertandingan, sebaliknya turut membawa nama Sarawak dan mengangkat pencapaian golongan orang kelainan upaya (OKU) ke peringkat lebih tinggi.

Sehubungan itu, Fatimah menyeru atlet supaya kekal fokus serta menjadikan setiap cabaran yang dihadapi sebagai pembakar semangat untuk memberikan prestasi terbaik di Selangor.

Terdahulu, perlepasan kontinjen di KIA turut disaksikan ahli keluarga, pegawai dan penyokong yang hadir memberikan sokongan padu kepada atlet sebelum berangkat ke Selangor.

Para SUKMA XXII Selangor 2026 akan berlangsung dari 5 hingga 10 September 2026 dengan mempertandingkan 10 jenis sukan.