KUALA LUMPUR: DXN Holdings Bhd meningkatkan aktiviti pembuatannya di Amerika Latin menerusi pembinaan kemudahan baharu di Brazil, dengan pelaburan sekurang-kurangnya 100 juta real Brazil (kira-kira RM77 juta) dalam tempoh lima tahun.

Dalam satu kenyataan, pengeluar produk kesihatan itu berkata kemudahan baharu di Ibiá, Minas Gerais, dijangka menjadi operasi pembuatan terbesarnya di Amerika Latin, sekali gus memperkukuh keupayaannya untuk memenuhi permintaan di Brazil dan pasaran serantau lain.

Amerika Latin merupakan penyumbang hasil terbesar DXN, menyumbang 61.2 peratus atau kira-kira RM1.2 bilion daripada hasil syarikat bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026.

Wilayah itu mempunyai kira-kira 4.8 juta pengguna setia setakat 31 Julai lalu, sekali gus menggariskan kepentingannya terhadap strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat.

Kemudahan itu dibangunkan di atas tapak seluas 100,745 meter persegi yang disediakan oleh Perbandaran Ibiá menerusi pengaturan sumbangan tanah bersyarat.

Pembinaannya disasarkan siap menjelang September 2029, dengan pengeluaran dijangka bermula menjelang akhir tahun berkenaan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DXN, Prajith Pavithran, berkata pelaburan itu akan membolehkan syarikat mengeluarkan produk lebih dekat dengan pelanggannya, sekali gus meningkatkan ketersediaan produk, memendekkan laluan bekalan dan membolehkan syarikat bertindak balas dengan lebih pantas terhadap perubahan permintaan.

"Pelaburan ini mencerminkan keyakinan kami terhadap Amerika Latin dan komitmen untuk membangunkan keupayaan yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang rantau ini. Apabila mula beroperasi, kemudahan di Brazil akan memberikan fleksibiliti lebih besar untuk membangunkan dan memperkenalkan produk yang disesuaikan dengan pilihan pengguna Brazil dan serantau," katanya.

DXN berkata, kemudahan itu turut akan memperkukuh rantaian bekalannya yang bersepadu secara menegak, dengan bahan mentah diperoleh daripada operasi pertanian sendiri serta pembekal tempatan.

Antaranya ialah biji kopi Arabica dari ladang DXN seluas 155.8 hektar di Ibiá, sekali gus membolehkan syarikat menghubungkan aktiviti penanaman di peringkat huluan dengan operasi pembuatan di peringkat hiliran.

Menurut Datuk Bandar Ibiá, Gillianno Mamao, kemudahan itu dijangka mewujudkan antara 200 hingga 250 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.

Pelaburan di Brazil itu merupakan sebahagian daripada program perbelanjaan modal DXN yang lebih besar bernilai RM500 juta bagi meningkatkan kapasiti pembuatan di beberapa wilayah.

Ketika ini, syarikat mengendalikan dua kemudahan pembuatan di Mexico, selain sedang membangunkan kemudahan di Peru dan Bolivia.

DXN mengadakan majlis pecah tanah bagi kemudahan di Peru pada September 2025, diikuti kemudahan di Bolivia pada April tahun ini.

Dengan kewujudan kemudahan di Brazil, DXN akan mempunyai rangkaian pembuatan yang lebih berpusat di peringkat tempatan merentasi empat pasaran utama Amerika Latin, yang berpotensi mengurangkan tempoh penghantaran dalam rantaian bekalan serta memberikan fleksibiliti lebih besar untuk menyesuaikan produk dengan permintaan serantau.

Pengembangan itu menyusuli memorandum persefahaman (MoU) DXN dengan Apex Brasil sebelum ini bagi menyokong rancangan pelaburannya yang lebih luas serta memperkukuh kehadiran operasinya di Brazil.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ke Brazil, Amirul Azman Ahmad, berkata pelaburan itu mencerminkan peningkatan pengantarabangsaan syarikat Malaysia serta peralihan mereka daripada sekadar mengeksport dan mengedar produk kepada aktiviti pembuatan tempatan dan integrasi dalam rantaian bekalan serantau.

"Pembinaan pangkalan pembuatan yang signifikan di Brazil menunjukkan syarikat Malaysia boleh bergerak melangkaui aktiviti eksport dan pengedaran kepada tahap penyetempatan, pembuatan serta integrasi yang lebih mendalam dalam rantaian bekalan serantau," katanya.