MADINAH: Kunjungan umrah jurutera audio dari Turkiye, Ahmad Tekin Topuzdag pada 1997 bertukar menjadi misi selama 10 tahun untuk memperbaiki sistem bunyi di Masjid Nabawi.
Ketika berada di masjid berkenaan, beliau menyedari suara imam kurang jelas akibat gema berlebihan serta gangguan bunyi.
Topuzdag kemudian mengemukakan cadangan kepada pihak pengurusan sebelum diberikan satu bahagian berkubah untuk menguji kaedahnya.
Hasil ujian itu menunjukkan peningkatan ketara sehingga beliau diberi tanggungjawab menaik taraf keseluruhan sistem audio Masjid Nabawi, selain turut terlibat dalam sistem bunyi Masjidil Haram.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau menggantikan mikrofon, kabel, pembesar suara dan pelbagai peralatan audio. Tetapan bunyi berasingan turut disediakan mengikut karakter suara setiap imam dan muazin bagi memastikan bacaan serta azan dapat didengar dengan lebih jelas.
Topuzdag juga menambah kedudukan mikrofon ketiga supaya suara imam kekal kedengaran ketika sujud, menggantikan kira-kira 1,000 komponen pembesar suara yang rosak serta membahagikan Masjid Nabawi kepada tujuh zon audio.
Usahanya berjaya mengurangkan gema dan gangguan bunyi, sekali gus meningkatkan kejelasan audio di seluruh kawasan masjid.
Sebelum kembali ke Turkiye, beliau turut melatih sekumpulan jurutera dan juruteknik Arab Saudi yang kemudiannya mengendalikan sistem audio di masjid-masjid seluruh negara itu.
Apa yang bermula daripada satu masalah yang disedarinya ketika menunaikan umrah akhirnya menjadi misi selama sedekad demi memastikan alunan bacaan imam dan seruan azan dapat didengar dengan jelas oleh para jemaah.







