TEMERLOH: Empat termasuk tiga sekeluarga terbunuh serta tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh, di sini, semalam.

Kemalangan jam 10 malam itu membabitkan empat kereta, tiga kenderaan utiliti sukan (SUV), satu masing-masing kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pikap, sebuah lori tangki dan bas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata nahas itu menyebabkan pemandu dan dua penumpang sebuah SUV terbunuh.

Nahas turut mengorbankan seorang lelaki menaiki sebuah lagi SUV.

"Semua mangsa terbunuh dalam kemalangan itu tersepit dalam kenderaan dinaiki mereka dan bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mereka.

"Dua lagi mangsa membabitkan pemandu lori tangki dan seorang lelaki menaiki sebuah SUV parah serta semua 30 penumpang bas bas ekspres terbabit dalam kemalangan itu terselamat.

"Nahas berlaku ketika semua kenderaan dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur Ke Kuantan dan polis masih menyiasat punca kemalangan itu," katanya ketika dihubungi.

Mohd Salahuddin berkata, semua mayat terbunuh dalam nahas itu dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah, di sini untuk bedah siasat dan identiti mangsa belum diperoleh.

Dua mangsa cedera dalam kemalangan itu turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.